blue Who is Me???: Nota si perantau di kota

Followers

Saturday 20 July 2013

Nota si perantau di kota

# (Catatan Ramadhan)

Takdir yang ditentukan untuknya adalah dengan menjadi insan yang bermukim di kota Mertropolitan dan berjauhan dari keluarga dan sahabat-sahabat tercinta. Jika kau tanya pada dirinya, adakah dia ingin menjadi seorang perantau dan menjejaki daratan insan lain ini, maka akan dia berkata sebegini :

“Jauh sungguh dari kotak fikiranku untuk aku jadi seperti sekarang. Aku berfikir, aku akan terus terperuk di daratan tanah kelahiranku itu, namun Tuhan Maha berkuasa, kita merancang, Dia yang menentukan.”

Aku tersenyum mendengar tutur bicaranya. Tutur bicara yang seolah-olah mengena pada batang hidung ini sendiri. Pandangan aku buang jauh, senyuman aku kuntumkan apabila melihat awan yang sedang berlegar-legar di langit dengan gembiranya. Sudah hampir setahun dia menjadi hamba yang menumpang di negeri orang, ibaratnya dia adalah seorang yang asing di kota ini namun dia berbeza dari pendatang asing. Sebabnya dia adalah insan kelahiran negara ini yang bukan berasal dari negera seberang, dia hanya berasal dari negeri seberang. Itu sangat berbeza. Yang melucukan untuk difikirkan, dia tidak mahu digelar sebagai kawan-kawan mamat bangla mahupun abang Myanmar yang sedang berusaha gigih mencari keberlangsungan di kota ini.

Ramadhan,

Pertama kali dia merasai ramadhan di daratan insan lain. Daratan yang hanya untuk ditumpanginya di dalam mengejar sejuta impian yang mungkin boleh terlaksana dan mungkin juga akan menjadi sebagai simpanan kotak memorinya sahaja. Satu ramadhan yang telah berkunjung, menitiskan air matanya di malam hari apabila panggilan dari ibu tercinta untuk mengucapkan selamat menyambut hari ramadhan kedengaran dek telinga. Saat itu, dia ingin saja terbang melintasi laut China Selatan dan mengharap mimpi yang menjengah mampu membawanya ke kampung halaman tercinta. Namun dia tahu, itu hanyalah mainan minda semata-mata.

Sahur pertama, teringat ramadhan lalu yang meriah di rumah bersama keluarga tercinta. Dia tidak mahu lagi untuk menitiskan air mata, kerana dia tahu dengan menitiskan air mata sahaja tidak akan membawanya pun untuk pulang ke negeri tercinta. Dia terus menyembunyikan perasaan yang berkelahi di dalam hatinya. Walaupun pada zahir dia tersenyum, namun pada batin, dia sedang menangis mengharap sang Tuhan memudahkan jalan cerita hidupnya di dunia ini.

Muka buku, twitter dan sewaktu dengannya semua menampakkan keindahan Ramadhan bersama keluarga tercinta. Namun untuk apa dia merasa cemburu, kerna dia tahu suatu masa nanti dia akan jadi seperti insan lain apabila ujian ini berjaya ditempuhinya. Namun ingin saja aku mengatakan padanya, bahawa dia adalah insan ‘plastik’ sebab terlalu banyak dia sembunyikan perasaannya dan asyik menampakkan senyuman kepura-puraan. Nevermind, mungkin itu adalah yang lebih terbaik daripada dia menjadi insan yang murung kerana berjauhan dari keluarga. Nanti dia akan jadi gila, lagi merisaukan keluarganya di seberang sana. Seberang sana bukan Indonesia atau myanmar ok! (ketawa terbahak-bahak).

Aku lihat padanya saat ini,

Ternyata semakin hari, semakin dia mampu menerima keadaan dirinya di bulan ramadhan ini, sekarang sudah masuk ramadhan yang ke-11. mana tidaknya, syaitan dan iblis dah kena tangkap, so takdelah yang nak hasut dia supaya menangis dan meratap nasib terus dan terus di dalam hidup.

Dia mengatakan satu ayat padaku sebelum meninggalkan aku yang sdang mencatat coretan ini,

“Aku sedang mencari sesuatu yang bernilai.”

“Apa dia?”

“Sebuah pengalaman untuk mendewasakan aku yang sedang diburu usia. Pengalaman yang sukar untuk dicari insan lain yang tak berani di dunia ini. Biarlah di zaman ni aku mencari sejuta pengalaman agar mampu aku hadiahkan kepada anak dan cucu aku nanti walaupun bukanlah semanis dan segembira pengalaman insan lain.”

Aku diam, dan dia berlalu. Nafas aku tarik panjang dan hatiku mula berdetak tak tentu pasal.


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!

No comments: