# (Catatan Ramadhan)
Takdir yang ditentukan untuknya adalah dengan menjadi
insan yang bermukim di kota Mertropolitan dan berjauhan dari keluarga dan
sahabat-sahabat tercinta. Jika kau tanya pada dirinya, adakah dia ingin menjadi
seorang perantau dan menjejaki daratan insan lain ini, maka akan dia berkata
sebegini :
“Jauh sungguh dari kotak fikiranku untuk aku jadi
seperti sekarang. Aku berfikir, aku akan terus terperuk di daratan tanah
kelahiranku itu, namun Tuhan Maha berkuasa, kita merancang, Dia yang
menentukan.”
Aku tersenyum mendengar tutur bicaranya. Tutur
bicara yang seolah-olah mengena pada batang hidung ini sendiri. Pandangan aku
buang jauh, senyuman aku kuntumkan apabila melihat awan yang sedang
berlegar-legar di langit dengan gembiranya. Sudah hampir setahun dia menjadi
hamba yang menumpang di negeri orang, ibaratnya dia adalah seorang yang asing
di kota ini namun dia berbeza dari pendatang asing. Sebabnya dia adalah insan
kelahiran negara ini yang bukan berasal dari negera seberang, dia hanya berasal
dari negeri seberang. Itu sangat berbeza. Yang melucukan untuk difikirkan, dia
tidak mahu digelar sebagai kawan-kawan mamat bangla mahupun abang Myanmar yang
sedang berusaha gigih mencari keberlangsungan di kota ini.
Ramadhan,
Pertama kali dia merasai ramadhan di daratan insan
lain. Daratan yang hanya untuk ditumpanginya di dalam mengejar sejuta impian
yang mungkin boleh terlaksana dan mungkin juga akan menjadi sebagai simpanan
kotak memorinya sahaja. Satu ramadhan yang telah berkunjung, menitiskan air
matanya di malam hari apabila panggilan dari ibu tercinta untuk mengucapkan
selamat menyambut hari ramadhan kedengaran dek telinga. Saat itu, dia ingin
saja terbang melintasi laut China Selatan dan mengharap mimpi yang menjengah
mampu membawanya ke kampung halaman tercinta. Namun dia tahu, itu hanyalah
mainan minda semata-mata.
Sahur pertama, teringat ramadhan lalu yang meriah di
rumah bersama keluarga tercinta. Dia tidak mahu lagi untuk menitiskan air mata,
kerana dia tahu dengan menitiskan air mata sahaja tidak akan membawanya pun
untuk pulang ke negeri tercinta. Dia terus menyembunyikan perasaan yang
berkelahi di dalam hatinya. Walaupun pada zahir dia tersenyum, namun pada
batin, dia sedang menangis mengharap sang Tuhan memudahkan jalan cerita
hidupnya di dunia ini.
Muka buku, twitter dan sewaktu dengannya semua
menampakkan keindahan Ramadhan bersama keluarga tercinta. Namun untuk apa dia
merasa cemburu, kerna dia tahu suatu masa nanti dia akan jadi seperti insan
lain apabila ujian ini berjaya ditempuhinya. Namun ingin saja aku mengatakan
padanya, bahawa dia adalah insan ‘plastik’ sebab terlalu banyak dia sembunyikan
perasaannya dan asyik menampakkan senyuman kepura-puraan. Nevermind, mungkin
itu adalah yang lebih terbaik daripada dia menjadi insan yang murung kerana
berjauhan dari keluarga. Nanti dia akan jadi gila, lagi merisaukan keluarganya
di seberang sana. Seberang sana bukan Indonesia atau myanmar ok! (ketawa
terbahak-bahak).
Aku lihat padanya saat ini,
Ternyata semakin hari, semakin dia mampu menerima
keadaan dirinya di bulan ramadhan ini, sekarang sudah masuk ramadhan yang
ke-11. mana tidaknya, syaitan dan iblis dah kena tangkap, so takdelah yang nak
hasut dia supaya menangis dan meratap nasib terus dan terus di dalam hidup.
Dia mengatakan satu ayat padaku sebelum meninggalkan
aku yang sdang mencatat coretan ini,
“Aku sedang mencari sesuatu yang bernilai.”
“Apa dia?”
“Sebuah pengalaman untuk mendewasakan aku yang
sedang diburu usia. Pengalaman yang sukar untuk dicari insan lain yang tak
berani di dunia ini. Biarlah di zaman ni aku mencari sejuta pengalaman agar
mampu aku hadiahkan kepada anak dan cucu aku nanti walaupun bukanlah semanis
dan segembira pengalaman insan lain.”
Aku diam, dan dia berlalu. Nafas aku tarik panjang
dan hatiku mula berdetak tak tentu pasal.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!